Ucapan Dasar Yang Dipertua

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Kesatuan Mahasiswa.

Terlebih dahulu, izinkan saya memetik ucapan sulung Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA.

Antara lain apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau berkata: “Hai manusia. Sesungguhnya aku dilantik pemimpin di kalangan kamu dan aku bukanlah orang yang terbaik. Jika aku mentaati Allah, maka taatilah aku. Sebaliknya jika sekiranya aku derhaka, maka tiada ketaatan bagimu.

Menurut subseksyen 48(1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, “Pelajar berdaftar Universiti, selain pelajar luar, hendaklah pada kesemuanya menjadi suatu badan yang dinamai Kesatuan Pelajar-Pelajar Universiti.” Akta ini kemudiannya dibaca dengan subseksyen 48(2) akta yang sama iaitu “Kesatuan hendaklah memilih suatu Majlis Perwakilan Pelajar-Pelajar mengikut cara yang berikut”.

Pada 27 November 2019, satu sejarah baru dilakar oleh mahasiswa Universiti Malaysia Pahang apabila Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar telah dijayakan sepenuhnya oleh mahasiswa UMP buat pertama kali mengikut tatacara dan kaedah-kaedah Universiti Malaysia Pahang. Ini merupakan perkembangan positif ke arah era pemerkasaan mahasiswa dan pra-penubuhan kesatuan pelajar di UMP.

Menyedari hakikat bahawa bahang kesatuan pelajar itu semakin hampir untuk ditubuhkan, MPP UMP sesi 2019/2020 berharap bahang ini turut dirasai oleh semua mahasiswa UMP. Berdasarkan subseksyen-subseksyen AUKU yang saya nyatakan sebelum ini, MPP UMP sesi 2019/2020 telah memperkenalkan ‘tagline’ atau slogan baharu iaitu ‘Salam Kesatuan Mahasiswa’. Saya yakin pengenalan slogan ini akan memberi sedikit ‘hint’ atau petunjuk kepada mahasiswa UMP bahawa penubuhan Kesatuan Pelajar UMP kini semakin hampir untuk direalisasikan. InsyaAllah menjelang Mei 2020, landskap kepimpinan mahasiswa di UMP akan berubah dengan tertubuhnya Kesatuan Pelajar di UMP. MPP UMP sesi 2019/20 memberikan sokongan penuh kepada Jawatankuasa Teknikal Penubuhan Kesatuan Pelajar UMP untuk meneruskan agenda penubuhan ‘Student Union’ di UMP.

Dalam usaha untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai perwakilan mahasiswa, hala tuju MPP UMP sesi 2019/2020 perlu dirangka sebagai garis panduan untuk kami menunaikan amanah dan tanggungjawab kami kepada rakan mahasiswa dan universiti ini sendiri. Menginsafi hakikat ini, serta pada masa yang sama menyedari tanggungjawab kami sebagai sebuah majlis yang menaungi seluruh mahasiswa di universiti ini, kami telah gariskan visi dan misi serta halatuju MPP yang akan kami pegang sepanjang sesi 2019/2020.

Antara lain visi kami adalah untuk “Merealisasikan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang sebagai sebuah badan kepimpinan yang berintegriti”. Integriti disini bermaksud MPP UMP sesi 2019/2020 menyasarkan corak kepimpinan yang telus dan berpegang teguh kepada lima nilai teras UMP.

Dalam masa yang sama, misi kami pada sesi kali ini adalah untuk “Membudayakan akauntabiliti dalam kalangan pelajar selaras dengan aspek pemerkasaan mahasiswa”. Akauntabiliti disini bermaksud sifat bertanggungjawab yang perlu ada dalam kalangan mahasiswa selaras dengan autoriti yang diberikan apabila terbentuknya Kesatuan Pelajar di UMP kelak.

Dalam proses untuk menterjemahkan visi dan misi kami kepada suatu hasil yang boleh dibanggakan, MPP UMP sesi 2019/2020 telah mempunyai 6 hala tuju jelas selaras dengan tuntutan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengangkat agenda pemerkasaan mahasiswa. Yang Pertama, memastikan pilihan raya kampus dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa. Yang Kedua, MPP sebagai penaung kepada seluruh badan persatuan pelajar. Yang Ketiga, MPP terlibat dan berkuasa dalam meluluskan program anjuran mahasiswa. Yang Keempat, MPP akan menguruskan dana kewangan sendiri. Yang Kelima, memastikan wakil MPP akan terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat dan jawatankuasa-jawatankuasa di bawah Universiti. Dan Yang Keenam, menjadikan Dewan Perundingan Pelajar sebagai platform semak-dan-imbang atau ‘check-and-balance’ kepada MPP. Alhamdulillah, dari kesemua enam halatuju ini, beberapa halatuju telah berjaya di terjemahkan oleh mantan MPP UMP sesi 2018/2019, seperti Penubuhan Dewan Perundingan Pelajar UMP dan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2019/2020.

Kepada keluarga MPP UMP sesi 2018/2019, banyak sebenarnya kejayaan yang telah dilakar sepanjang perkhidmatan sebagai perwakilan pelajar di universiti ini. Jika boleh saya sentuh, penubuhan Dewan Perundingan Pelajar merupakan kejayaan paling manis sepanjang perkhidmatan kepada mahasiswa dan universiti ini. Platform untuk mahasiswa berbahas dan bersuara telah ditubuhkan, dan kini menjadi amanah buat MPP UMP sesi 2019/2020 untuk meneruskan dan menambah baik platform ini supaya

menjadi pentas perbincangan ilmiah dan intelektual dalam membahaskan polisi dan menambahbaik perkhidmatan universiti kepada mahasiswa.

Kepada keluarga MPP UMP sesi 2019/2020, perjuangan kita baru saja bermula, bahagikan masa anda sewajarnya, tunaikan tanggungjawab hakiki sebagai seorang pelajar kerana kita disini untuk menuntut ilmu. Namun jangan sesekali abaikan amanah dan tanggung jawab yang sedang kita pikul, iaitu berkhidmat buat rakan-rakan mahasiswa di universiti ini. Tunaikan juga tanggungjawab sebagai seorang anak, adik, abang atau kakak, namun jangan sesekali tinggalkan rakan-rakan mahasiswa kita di universiti ini.

Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pegawai-pegawai dan kakitangan universiti yang telah banyak membantu kami dalam menjalankan amanah mahasiswa yang diletakkan di bahu kami. InsyaAllah pada sesi 2019/2020 kita akan sekali lagi bergerak bersama untuk membantu mahasiswa dan menabur bakti kepada universiti.

Sebelum saya mengakhiri ucapan dasar ini, saya memohon kepada semua hadirin dan hadirat serta seluruh warga UMP untuk mendoakan agar kami kuat untuk memimpin dengan hala tuju yang jelas, doakan agar kami mampu bergerak bersama-sama ke satu arah yang diredhai, doakan agar tahun ini lebih banyak potensi yang mampu kami dayakan dan bawakan, doakan agar Allah mengurniakan yang terbaik untuk kita semua.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum WBT.

MOHD FITRI BIN ZULKAFFLI

Yang Dipertua

Image

View Our
Corporate Video